Posts tagged ‘putrajaya’

August 22, 2010

Pasar Ramadhan Putrajaya diserang penembak

Antara 10 hingga 20 penembak menyerbu Pasar Ramadhan Presint 2 yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Usia mereka dalam lingkugan 20an dan berpecah-pecah membentuk kumpulan atau berseorangan. Pengunjung pasar tersebut dianggarkan seramai 20 ribu dalam satu-satu masa dan tidak ada sesiapa pun tercedera setelah ditembak oleh penembak.

Penembak yang dimaksudkan adalah jurugambar-jurugambar amatur atau professional menyerbu Putrajaya. Sudah menjadi kebiasaan Putrajaya akan dikunjungi oleh peminat fotografi pada setiap hujung minggu. Oleh kerana ketika ini adalah bulan puasa tentu sekali mereka juga tidak akan melepaskan peluang merakamkan suasana pasar tersebut.

Putrajaya menjadi destinasi pengembar fotografi kerana mempunyai daya tarikan terutamanya pada taman-tamannya, bangunan-bangunannya, tasik buatannya dan paya buatannya. Mereka datang dengan gadget kamera yang bernilai antara RM1,000 hingga RM50,000 dan kebanyakannya adalah jenis DSLR.

Taman yang selalu dikunjungi adalah Taman Botani dan Taman Wetland kerana disini mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan binatang yang unik. Selain daripada taman, bangunan-bangunan kerajaan juga menjadi sasaran seperti bangunan Istana kehakiman, Perbadanan Putrajaya, Masjid Besi, Masjid Putra, bangunan Kementerian Kewangan dan banyak lagi.

Putrajaya mempunyai 9 buah jambatan merintangi tasik buatan putrajaya dan juga menjadi tarikan pengembar fotografi. Jambatan paling diminati adalah Jambatan Seri Wawasan dan Jambatan Seri Saujana.

Jika anda juga mempunyai kamera DSLR adalah digalakan untuk menembak di Putrajaya. Luangkan masa anda untuk belajar mendapatkan pemandangan yang cantik menerusi lensa anda dan dikongsi bersama. Semoga berjaya.